KOTA KINABALU: Sabah FC meneruskan rentak kemenangan pada saingan Liga Super 2023 dengan menundukkan Kelantan United FC 3-1 di Stadium Likas, malam ini.
Sabah FC menguasai permainan pada separuh masa pertama dan memperolehi jaringan pertama menerusi tendangan penalti oleh penyerang kebangsaan Darren Lok pada minit ke-22 selepas Daniel Ting dijatuhkan.
Selepas itu, Sabah FC terus mendominasi permainan dan memperolehi jaringan kedua menerusi tendangan leret Ketua Pasukan Park Taesu dari luar petak menewaskan penjaga gol Kelantan United FC Ahmad Asyraaf pada minit ke-26.
Sebaik dimulakan separuh masa kedua, Sabah FC tidak menunggu lama memperolehi gol ketiga menerusi tandukan Telmo Castanheira hasil hantaran dari Daniel Ting pada minit ke-47.
Kelantan United FC memperolehi jaringan menerusi tendangan percuma Indera Putra Mahayuddin pada minit ke-92.
Kemenangan pada malam ini menceriakan 12,500 penyokong Sabah FC yang hadir di Stadium Likas.
Perlawanan ketiga Sabah FC pada Liga Super 2023 ini akan menentang Kuching City FC pada 6 Mac ini di Stadium Negeri Kuching, Sarawak.