Memperkasa Sektor Pendidikan serta Penghasilan Graduan Misi Utama Calon Ketua UMNO Bahagian Semporna Mohd Syam Muksan

KOTA KINABALU: Matlamat memperkasakan pendidikan serta mengekalkan statistik ‘Semporna sebagai Pengeluar graduan utama di Sabah’ antara misi utama Calon Ketua UMNO Bahagian Semporna, Mohd Syam Muksan.

Menurutnya,  selepas ini beliau akan mendapatkan statistik rasmi berkaitan jumlah graduan ini termasuk bagi mereka yang belum memperoleh bidang pekerjaan untuk dibantu dalam tempoh terdekat.

“Ini merupakan tumpuan utama saya bagi memastikan mereka dapat dibantu melalui peluang dalam beberapa sektor utama berkaitan pelancongan, perniagaan dan perikanan di daerah Semporna.

“Kita beri galakan kepada graduan ini agar terlibat secara langsung untuk menjana pendapatan sendiri sementara menunggu peluang pekerjaan di sektor kerajaan dan swasta,” katanya kepada Sabahnewstoday hari ini.

Mohd Syam berkata, dalam tempoh sama beliau akan berusaha mendapatkan beberapa tenaga pensyarah terutama anak jati Semporna untuk membantu merealisasikan usaha ini bagi membantu graduan di Semporna.

“Kita mendapati ramai kalangan tenaga pakar terutama pensyarah anak-anak jati Daerah Semporna berkhidmat di beberapa Universiti tempatan di Malaysia untuk terlibat secara langsung dalam cadangan membantu graduan memperoleh pendapatan mereka. Sokongan mereka sangat diperlukan dalam hasrat ini.

“Kita bukan sahaja hanya berpolitik malah berusaha untuk membantu mereka mendapatkan pendapatan bagi membantu keluarga mereka,” katanya.

Menyentuh berkaitan menawarkan diri bertanding Ketua UMNO Bahagian Semporna Mohd Syam berkata,  sudah tiba masanya beliau berusaha membantu ahli UMNO Semporna untuk terlibat secara langsung dalam kegiatan ekonomi terutama dalam sektor pelancongan, perniagaan  dan perikanan di Semporna.

“Kita tidak mahu Ahli UMNO atau masyarakat Semporna menjadi hanya menjadi penonton kepada peluang ini tetapi diusahakan oleh masyarakat luar.

“Kita mahu mereka sendiri terlibat secara langsung untuk menjana ekonomi keluarga mereka sekali gus memastikan boleh menghasilkan pendapatan utama dalam sektor pelancongan di Semporna,” katanya.