DUN SABAH: Pengalihan utiliti antara punca Pan Borneo Sabah lewat

KOTA KINABALU: Pengalihan utiliti termasuk pemindahan tiang elektrik dikenal pasti sebagai antara faktor yang menjejaskan kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, bagaimanapun kelewatan projek itu turut dipengaruhi beberapa faktor lain termasuk isu pengambilan tanah, keadaan geoteknik, penyelesaian teknikal di tapak serta prestasi kontraktor.

Menurutnya, kerja pengalihan utiliti melibatkan kabel telekomunikasi dan aset utiliti lain yang memerlukan proses pengesahan kedudukan utiliti, penyediaan reka bentuk, kelulusan teknikal serta penyelarasan dengan pemilik utiliti.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Dilantik, Datuk Ir. Chin Shu Ying pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah.

Katanya, kerajaan negeri terus memperkukuh penyelarasan melalui Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan mengadakan mesyuarat berkala di tapak bagi mempercepat penyelesaian isu kritikal.