KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin mendesak Kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula pelaksanaan subsidi diesel kepada pengusaha pelancongan di negeri itu.
Menurutnya, peningkatan kos operasi akibat pelaksanaan dasar subsidi diesel memberi tekanan besar kepada pengusaha, khususnya mereka yang beroperasi di kawasan pulau dan luar bandar.
Katanya, industri pelancongan Sabah bergantung kepada penggunaan diesel bagi operasi bot pelancong, penjanaan elektrik dan pelbagai keperluan operasi harian.
Beliau berkata sekiranya tiada penyelesaian segera, ramai pengusaha berisiko mengurangkan operasi, memberhentikan pekerja atau menutup perniagaan seperti yang pernah berlaku ketika pandemik COVID-19.
“Pelancongan bukan sekadar sektor ekonomi, malah menjadi sumber pendapatan kepada ratusan ribu rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Jafry, sektor pelancongan menyumbang kira-kira 12 peratus kepada ekonomi negeri dengan nilai hasil tahunan RM13.7 bilion serta menyediakan hampir 387,600 peluang pekerjaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan memperkenalkan mekanisme subsidi diesel yang lebih adil, fleksibel dan bersasar demi memastikan industri pelancongan Sabah terus berkembang.
