KOTA KINABALU : Persiapan pasukan bola sepak Sukan Sabah (SAGA) Kota Kinabalu berjalan lancar dengan memfokuskan kepada latihan sebelum perlawanan peringkat kelayakan bermula awal bulan hadapan.
Ketua jurulatih pasukan, Rosly Jamal, berkata pihaknya sedang melakukan persiapan khususnya menekankan aspek kecergasan dan kombinasi pemain dalam masa tiga minggu ini.
“Pemain-pemain akan meneruskan latihan selain kita akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan untuk menguji prestasi pasukan,” katanya ketika ditemui semalam.
Rosly akan dibantu jurulatih Ismail Tudiki dan Sabri Sahar, bekas pemain tengah Sabah FC mengendalikan pasukan. Manakala pengurus pasukan, Nuhafiza Badar.
Beliau berharap persiapan yang dilakukan berjalan baik dan tiada pemain utama mengalami kecederaan sepanjang latihan.
“Kita sedang berusaha mewujudkan keserasian pemain di semua posisi bagi memastikan pasukan mampu bersaing dalam perlawanan peringkat kelayakan nanti,” ujarnya.
Rosly mengucapkan terima kasih kepada SAFA Bandaraya kerana memberi kepercayaan kepada mereka untuk mengendalikan pasukan SAGA Kota Kinabalu tahun ini.
“Pada saya, ia satu cabaran besar namun dengan kerjasama jurulatih yang membantunya, Ismail dan Sabri, kami akan berusaha melakukan yang terbaik demi nama Kota Kinabalu,” tegasnya.
Menurut beliau, latihan yang dijalankan ketika ini akan berterusan sehingga akhir bulan ini dengan harapan dapat membentuk pasukan yang berdaya saing.