KOTA KINABALU : Slogan “Sabah for Sabahans” bukan sebagai memecahbelahkan serta tidak membina seperti mana kenyataan dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, kenyataan itu menafikan sejarah sekali gus memesongkan fakta serta menghina hasrat politik rakyat Sabah yang sah.
“Kenyataan seperti ini mengabaikan sejarah, memesongkan fakta dan menolak kehendak politik rakyat Sabah.
“Kita tidak perlukan keizinan untuk bersuara, mahupun pengiktirafan daripada mana-mana pemimpin Persekutuan untuk menuntut hak kita sendiri,” katanya di sini hari ini.
Dr Jeffrey merupakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) berkata, beliau menegaskan bahawa “Sabah for Sabahans” bukanlah satu bentuk penentangan, sebaliknya satu pendirian sah untuk maruah politik, integriti perlembagaan dan kebenaran sejarah.
“Kita mengingatkan bahawa Sabah tidak pernah dimaksudkan sebagai negeri bawahan dalam Persekutuan Malaysia.
“Sebaliknya, Sabah membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963 bersama Sarawak dan Tanah Melayu sebagai rakan kongsi setaraf berdasarkan terma yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” jelas Dr Jeffrey.
Beliau berkata, selama berdekad-dekad, Sabah telah dilayan seperti koloni sumber, manakala suara rakyatnya ditekan.
Setakat ini beliau menyenaraikan beberapa isu lama yang masih berlarutan, termasuk pengambilalihan hasil minyak dan gas oleh PETRONAS sejak 1976 tanpa rundingan wajar dengan rakyat Sabah.
“Kita turut membangkitkan penghapusan status Sabah sebagai sebuah “Negara” dan rakan setaraf dalam perlembagaan Persekutuan dan negeri.
“Dalam masa sama, kita mengecam skandal ‘Projek IC’ yang didakwa membawa masuk pendatang tanpa izin dan memberikan mereka kerakyatan secara tidak sah, sekali gus mengubah komposisi demografi dan masa depan politik Sabah,” katanya.