KOTA KINABALU : Majlis Penasihat Buruh Sabah (SLAC) yang baru ditubuhkan akan membantu melindungi hak pekerja serta mengharmonikan hubungan tripartite antara kerajaan, majikan dan pekerja di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, penubuhan SLAC akan memastikan hak dan kebajikan pekerja di Sabah terjaga dan terbela.
Katanya, ini dapat membantu majikan menjalankan perniagaan dengan lebih teratur dan tersusun.
“Kita harapkan penubuhan SLAC ini akan menjadi satu platform kepada majikan dan pekerja untuk berkongsi pandangan.
“Kewujudan ini akan dapat memberi cadangan berkaitan perkara perburuhan kepada kerajaan agar dasar dan perundangan lebih sesuai dengan perindustrian negeri Sabah dapat diterjemahkan,” katanya di sini hari ini.
Teksnya disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif.
Hajiji berkata, peranan SLAC adalah untuk memperkukuh hubungan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri serta Kementerian Sumber Manusia Persekutuan.
“Kita berharap ahli majlis yang terdiri daripada 16 wakil kerajaan, 16 daripada persatuan majikan dan 16 daripada kesatuan pekerja dapat memainkan peranan mereka.
“Setiap keputusan yang dibuat dalam mesyuarat SLAC akan dibawa kepada perhatian Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Hajiji berkata pengumuman Perdana Menteri semasa sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan tahun ini merupakan satu titik tolak penting dalam pentadbiran buruh di Sabah.
“Ia akan memastikan isu-isu berkaitan seperti pembasmian buruh paksa, diskriminasi di tempat kerja dan gangguan seksual; perlindungan wanita dan kanak-kanak; pengurusan pekerja bukan pemastautin; waktu kerja fleksibel; perumahan dan penginapan; serta kemudahan pekerja dapat terus diperkasa,” katanya.
Beliau berkata penyelesaian kepada semua isu berkaitan pekerja akan memberi impak positif kepada Sabah, terutamanya dalam sektor ekonomi kerana tenaga kerja yang stabil dan keberkesanan sistem perundangan buruh adalah elemen penting dalam menarik pelabur ke negeri ini.
Ketua Menteri berkata bagi memastikan pelaksanaan pindaan Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025 dapat berjalan lancar, Kerajaan Negeri akan terus mempertingkat kerjasama dengan semua pihak berkepentingan.
“Saya juga menyeru semua majikan dan pemain industri untuk menyambut baik inisiatif ini dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh patriotik demi kepentingan bersama,” katanya.
Ketua Menteri berkata kerjasama antara kerajaan, majikan dan pekerja adalah amat penting dalam pembentukan SLAC bagi memastikan Agenda Pekerjaan Bermaruah (Decent Work Agenda), yang merupakan aspirasi utama Pertubuhan Buruh Antarabangsa, dapat dilaksanakan.
“Di Sabah, aspirasi ini selari dengan pembangunan negeri yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan prinsip Agenda Pekerjaan Bermaruah bukan sekadar slogan, tetapi diterapkan dalam setiap dasar, amalan dan tindakan,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan menaikkan kadar gaji minimum bulanan daripada RM1,500 kepada RM1,700 melalui Perintah Gaji Minimum 2024.
“Kita mesti memastikan setiap pekerja di Sabah menerima gaji yang setimpal dengan sumbangan mereka,” katanya.