KOTA KINABALU: Sebanyak enam kes kecurian kabel voltan sederhana direkodkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai sepanjang tahun lalu, manakala empat lagi kes dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Ruddy Awah berkata, berdasarkan rekod Sabah Electricity, kes kecurian kabel melibatkan talian 11kV dan 33kV masih memerlukan perhatian berterusan kerana boleh menjejaskan bekalan elektrik kepada pengguna.
Beliau berkata, daripada keseluruhan 13 kes yang direkodkan di kawasan Kota Kinabalu dan Karambunai pada 2025, sebanyak enam kes berlaku di DUN Karambunai.
“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 pula, daripada lima kes yang direkodkan, empat kes dilaporkan di kawasan Karambunai,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr. Aliakbar Gulasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Menurut beliau, Sabah Electricity telah memperkukuhkan usaha pencegahan menerusi rondaan dan pemantauan berkala di kawasan hotspot selain menjalankan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan.
Katanya, sebanyak 35 operasi rondaan dan pemantauan dilaksanakan di DUN Karambunai sepanjang enam bulan pertama tahun ini sebagai langkah mengurangkan kejadian kecurian kabel.
Beliau berkata, kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat akan terus diperkasa bagi membanteras kegiatan tersebut serta memastikan keselamatan aset utiliti dan kestabilan bekalan elektrik kepada pengguna.
