Pekerja maut terkena renjatan elektrik ketika pasang tiang lampu

NABAWAN: Seorang lelaki warga asing maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja-kerja pemasangan tiang lampu di Kampung Malinja, di sini, semalam.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.49 pagi sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan digerakkan ke lokasi.

Komander Operasi, PBK I Gustin Asin berkata, pasukan bomba tiba pada jam 11.56 pagi dan mendapati mangsa berada di kawasan berbahaya selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bekerja.

Katanya, anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa sebelum pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan lelaki berusia 29 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi yang turut melibatkan tiga anggota KKM dan tiga anggota PDRM ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.15 tengah hari selepas keadaan disahkan selamat.