KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) yang baharu, Datuk Dr Jelani Hamdan memulakan tugasnya dengan menemui kakitangan di pejabat SAFA di sini pada Isnin.
Katanya, melalui perjumpaan ini membolehkannya mengenali lebih dekat semua kakitangan dan mengetahui peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam badan bolasepak itu.
“Selain untuk menjayakan misi dan visi Presiden SAFA, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, saya juga bertanggunjawab untuk melakukan perubahan dalam SAFA demi memajukan sukan bolasepak di negeri ini,” katanya pada majlis suai kenal dengan kakitangan SAFA itu.
Justeru, tambahnya, kerjasama dan komitmen dalam kalangan kakitangannya penting dalam menjayakan perubahan yang hendak dilakukan.
Beliau berkata, melalui sesi suai kenal seperti itu juga membolehkannya mendapat input, memahami masalah yang mereka hadapi dan mengambil tindakan untuk penambahbaikan dalam persatuan.
Katanya, ia juga akan dapat membantu pihaknya untuk melakukan perancangan agar SAFA dapat berfungsi dengan baik dan menjadi sebuah badan yang boleh berdikari.
Jelani turut mengucapkan selamat hari jadi kepada seorang pegawai SAFA, Mathius R. Sulaiman yang kebetulan menyambut hari ulang tahun kelahirannya ke-49 pada majlis itu.