SPR laksana PRN dalam 60 hari

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersiap sedia mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata pihaknya tiada pilihan selain melaksanakan PRN dalam tempoh 60 hari pembubaran DUN kerana itu peruntukan undang-undang, walaupun menyedari kebimbangan masyarakat berhubung wabak COVID-19.

Katanya, PRN itu juga akan dilaksanakan dengan penambahbaikan yang bersesuaian dengan keadaaan semasa pandemik COVID-19, namun beliau enggan memperincikan kerana status DUN Melaka, belum dimuktamadkan.

“Kita di SPR, kalau berubah (DUN Melaka bubar), mahu tak mahu kena buat dalam tempoh 60 hari.

“Musim pandemik COVID-19 ini, kita buat perubahan yang sesuai. Tetapi setakat ini kita tak nak cerita banyak kerana Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam belum buat keputusan,” katanya kepada BH, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi ini tidak menolak kemungkinan PRN akan berlaku di Melaka, ekoran kemelut politik negeri itu.

Beliau berkata, apa jua perkembangan bergantung kepada keputusan Mohd Ali.

Perdana Menteri berkata, beliau percaya SPR akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan kawalan dapat dilaksanakan.

Semalam, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan hilang kepercayaan, sekali gus menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).