Kejohanan Piala Datuk Seri Bung Moktar mendapat sambutan: Azman

Azman menyerahkan dokumen format pertandingan.

Oleh: Zakaria Damit
KOTA KINABALU: Lima zon sudah diberikan taklimat berhubung Kejohanan Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin yang dianjurkan dalam tempoh terdekat.

Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Azman Mastar berkata, kejohanan itu akan mempertandingkan pemain berusia hanya 18 tahun ke bawah (B18) sahaja.

Katanya, setakat ini lima zon tersebut iaitu Utara Bawah membabitkan pasukan Tuaran, Tamparuli, Penampang dan Kiulu manakala Utara dianggotai Kudat, Kota Belud, Kota Marudu dan Pitas.

Manakala Zon Pedalaman Atas terdiri dari Ranau, Telupid dan Tongod, disamping itu Zon Sandakan membabitkan daerah Sandakan, Kinabatangan dan Beluran serta Zon Tawau iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu serta Kalabakan.

Azman menerangkan sesuatu kepadawakil daerah Ranau, Telupid dan Tongod dalam lawatan ke Pedalaman Atas.

“Tiga lagi zon terdiri dari Zon Pantai Barat (Kota Kinabalu, Putatan dan Papar), Pantai Barat Selatan (Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu dan Menumbok) dan Pedalaman Bawah (Keningau, Tambunan, Tenom dan Nabawan) akan diberi taklimat dalam masa terdekat.

“Sehingga ini SAFA berpuas hati dengan penerangan yang diberikan memandangkan zon yang dilawati memberi kerjasama sangat memberangsangkan terhadap kejohanan yang bakal diadakan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di pejabat SAFA di sini hari ini.

Azman, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA berkata, tarikh sebenar kejohanan akan diputuskan sebaik sahaja kerajaan membenarkan semula penganjuran dan aktiviti sukan bolasepak.

Setakat ini perancangan yang dilakukan Jawatankuasa pertandingan tempatan SAFA berjalan dengan baik dan pada masa yang sama mengharapkan kerajaan membenarkan semula penganjuran sukan bolasepak supaya tarikh kejohanan itu dapat diputuskan.

Dalam perkembangan sama Azman memberitahu, Kejohanan Piala Bung Moktar adalah antara dua kejohanan yang akan diadakan tahun ini selain dari Kejohanan Piala Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Azman bersama David, Lokman , Abdul Agas dan Malim menjayakan sesi taklimat mengenai penganjuran piala tersebut.

“Kita berharap wabak Covid-19 akan segera pulih dan kita akan dapat menjayakan kedua-dua kejohanan tersebut sekali gus membolehkan perancangan SAFA dapat dilaksanakan,” tegasnya.

Selain memberi taklimat kepada zon-zon yang sudah dilawati, Azman berkata, SAFA juga memberi sumbangan baju, bola, pelitup muka serta kalender kepada wakil setiap daerah dalam zon terlibat.

Dalam tempoh terdekat, tiga zon lagi iaitu Pedalaman Bawah, Pantai Barat dan Pantai Barat Selatan akan dikunjungi sekaligus akan diberikan penerangan dan taklimat berkaitan kejohanan tersebut.

Sabahnewstoday

Leave a Reply