KOTA KINABALU: Pengumuman peruntukan khas RM100,000 kepada 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pembangkang di Sabah yang membabitkan sejumlah RM3.1 juta selasa lalu dilihat komitmen tinggi kerajaan kepada rakyat di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, peruntukkan yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor akan disalurkan secepat mungkin kepada semua ADUN pembangkang melalui Pejabat Daerah di kawasan mereka.
Katanya, kerajaan negeri bersedia untuk memberi pertimbangan terhadap cadangan menambah peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang bagi membolehkan mereka membantu rakyat terutama dalam pandemik Covid-19 ini.
“Cadangan tambahan peruntukkan ini perlu dibincangkan di peringkat Mesyuarat Kabinet Negeri memandangkan ianya merupakan kali pertama dilakukan oleh kerajaan negeri.
“Dalam mesyuarat baru-baru ini, kita bersetuju untuk memberikan peruntukan khas kepada semua ADUN pembangkang bagi membolehkan mereka membantu rakyat yang terjejas dengan COVID-19 di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan sumbangan limau Mandarin di ibu pejabat UMNO negeri Sabah, hari ini.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, cadangan tambahan peruntukan itu belum pernah berlaku semasa pemerintahan kerajaan negeri terdahulu termasuk ketika kerajaan Parti Warisan Sabah (WARISAN).
“Cadangan ini memanglah baik namun kita perlu berbincang dahulu…Ini adalah atas rasa penuh tanggungjawab kepada rakyat Sabah. Ini sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.
Sabahnewstoday