TABS Tutup tirai saingan Liga Suparimau dengan kemenangan

KOTA KINABALU :: Pasukan TABS Sabah FC menutup tirai saingan Liga Suparimau 2024 dengan kemenangan ke atas pasukan KKFC A 3-2 di padang sintetik Likas, Ahad lepas.

Perlawanan kelima dan terakhirnya menyaksikan persaingan yang sengit dengan TABS terpaksa mengerahkan keupayaan untuk mengetepikan lawan, yang mengharapkan kemenangan memihak mereka.

Dengan kemenangan itu, TABS menduduki tempat kedua dengan 11 mata berbanding pasukan Tuaran FT di tempat pertama dengan 13 mata, dibezakan dengan dua mata. Manakala pasukan Pengalat FC yang memperoleh lapan mata di tempat ketiga.

Sebelum ini, TABS mencatat dua kemenangan awal ke atas KKFC C 2-0 dan Keris Junior Soccer juga 2-0 dan seri dua kali dengan Tuaran FT 0-0 dan Pengalat FC 1-1.

Pada saingan liga itu beberapa bulan lepas, TABS telah membuktikan prestasi yang baik untuk muncul sebagai juara namun kali ini hanya menduduki di tempat kedua akibat sedikit kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan kedua terakhir di mana terpaksa berkongsi mata dengan Pengalat FC.

Jurulatih pasukan Rosly Jamal, berkata pasukan sepatutnya memenangi perlawanan itu tetapi dikejutkan dengan jaringan awal pasukan lawan dan memaksa pemain-pemain mengambil masa lama untuk menyamakan kedudukan.

“Kesilapan itu tidak seharusnya berlaku namun ia sudah terjadi dan ia mengundang padah kepada pasukan. Jika kami memenangi perlawanan itu, pastilah kami mengungguli takhta liga,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Rosly, dalam bola sepak bermacam-macam perkara di luar jangka boleh berlaku sebab itu pemain tidak harus melakukan kesilapan kerana ia akan menjejaskan perancangan dan peluang.

Katanya, secara keseluruhan pemain-pemainnya telah berusaha membuktikan semangat dan komitmen mereka untuk pasukan.

“Kita berharap mereka terus mengekalkan momentum dan lebih bersedia dalam perlawanan-perlawanan yang bakal dihadapi selepas ini,” ujarnya sambil mengharapkan peluang pasukan untuk beraksi di grand final Liga Suparimau di Kuala Lumpur nanti belum berakhir.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim mengingatkan pemain supaya terus fokus kepada latihan bagi memastikan mereka sentiasa cergas dan bersiap siaga setiap masa.

Katanya, ini penting kepada pemain sekali gus memudahkan jurulatih menyediakan pasukan bagi menghadapi sebarang kejohanan.