KOTA KINABALU : Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Sulaiman Md Noor memberi jaminan pemain-pemain muda yang mengikuti Program pembangunan bola sepaknya akan mendapat bimbingan dan pendedahan sebaik mungkin bagi membolehkan bakat mereka terus dikembangkan.
Kata beliau, pihaknya akan memastikan potensi pelatih-pelatih mereka akan diasah dengan baik selaras kolaborasi antara TABS dengan kelab profesional, Sabah FC.
“Pihak Sabah FC akan sentiasa membantu kita agar program yang djalankan mempunyai kualiti, lebih-lebih lagi dengan jurulatih berpengalaman yang ada bersama TABS,” katanya ketika memberi pencerahan kepada sebahagian ibu bapa pelatih.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Sabah FC kerana menghantar Ketua Pembangunan Belianya, Johnny Dominicus untuk membantu kejurulatihan TABS di samping memantau pengendalian program pembangunan yang dijalankan setiap hujung minggu.
Menurutnya, kolaborasi kedua-dua pihak sangat baik khususnya dalam memberi bimbingan dan khidmat nasihat kepada pelatih-pelatih meningkatkan kualiti permainan mereka.
Dalam hubungan ini, Sulaiman menasihati ibu bapa supaya bijak menghantar anak-anak mereka mengikuti program di pusat latihan atau akademi yang benar-benar boleh memberi harapan dan masa depan kepada mereka.
“Jangan melakukan kesilapan, apa lagi terpedaya dengan kata-kata yang boleh mengundang masalah kepada anak-anak mereka nanti,” ujarnya.
Beliau berkata, program pembangunan TABS hanya membantu pelatih-pelatih dapat diberi bimbingan latihan dan pendedahan yang sewajarnya sesuai dengan keperluan dan integriti sukan bola sepak semasa.
Tambahnya, kualiti kejurulatihan dan pengalaman yang mereka miliki juga perlu diambil kira semasa mereka di padang dan bukan sekadar mahir berbicara sahaja.
Sementara itu, jurulatih Rosly Jamal menyokong sepenuhnya usaha-usaha yang dilakukan pengurusan TABS untuk terus memperkasakan lagi program pembangunan yang dijalankan.
“Kami sentiasa menyokong dari belakang untuk membimbing pelatih-pelatih TABS agar mereka menerima latihan dan pendedahan sebaiknya,” tegasnya.