KOTA KINABALU: Pihak pengurusan Sabah FC menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab pemilihan pemain kepada Ketua Jurulatih baharunya, Datuk Ong Kim Swee bagi mengharungi liga super musim depan.
Presidennya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Sabah FC yakin akan tampil memberikan saingan hebat serta tidak mudah menyerah kalah sekali gus sekurang-kurangnya akan mampu merangkul satu piala pada musim depan.
Katanya, sasaran itu berdasarkan perbincangan penyusunan semula yang digariskan dalam perancangan secara terperinci Sabah FC dalam tempoh jangka masa panjang.
“Secara keseluruhanya saya sungguh kecewa dengan prestasi Sabah FC pada musim ini. Saya mohon maaf kepada semua penyokong Sabah FC, kita pastikan perkara ini tidak berulang di masa depan.
“Kita dibelasah dan kalah teruk bermain di gelanggang sendiri. Segala kebajikan pemain termasuk gaji telah selesaikan sepenuhnya oleh pihak pengurusan Sabah FC. Sepatutnya semua pemain menghargai segala pengorbanan yang dilakukan oleh Sabah FC. Pada musim depan kita sangat teliti dalam pemilihan pemain yang mewakili Sabah FC,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kontrak Ketua Jurulatih baharunya, Datuk Ong Kim Swee di sini malam ini.
Bung yang Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerjaraya berkata, selain kualiti pemain perlu diutamakan faktor lain termasuk disiplin serta komitmen tinggi dituntut dalam kalangan mereka.
“Kita tuntut semua pemain menunjukkan komitmen tinggi dalam setiap perlawanan dan bukannya bermain sekadar bermain sambil lewa dalam setiap perlawanan,” katanya.
Semua pihak dalam Sabah FC perlu berganding bahu dengan mengalas tugas memulihkan imej pada musim depan agar Sabah FC memberikan saingan hebat dalam saingan Liga Super.
“Soal gaji pemain adalah tugas utama pihak pengurusan Sabah FC. Tugas pemain berlatih bersungguh-sungguh serta bermain atas komitmen yang tinggi setiap kali beraksi di padang’” katanya.