Lupakan episod kad merah, fokus kutip 3 mata malam ini – Kim Swee

KOTA KINABALU: Insiden kad merah diterima Pengendali  Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC minggu lalu dilihat menyuntik semangat anak-anak buahnya untuk menunjukkan prestasi cemerlang menentang Penang FC di Stadium Likas malam ini.

Kim Swee menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada Rastislav Bozik selaku Penolong Jurulatih bagi memastikan rekod kemenangan dapat dicapai ketika beraksi digelanggang sendiri.

“Tidak banyak perubahan dilakukan…Rastislav Bozik mampu menjalankan tugasnya dengan baik disamping itu saya dapat memberikan arahan seperti biasa dilakukan sebelum perlawanan berlangsung.

“Pada perlawanan malam ini sudah pasti kita mempunyai beberapa perkara penting untuk disampaikan kepada pemain melalui penolong jurulatih.

“Kita ada cara komunikasi yang efektif malam ini untuk memastikan semua pemain dan pegawai dapat mengikut arahan apa yang kebiasaan kita lakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam tempoh sama Kim Swee mahu anak-anak buahnya  melupakan episod membabitkan Sabah FC menentang Sri Pahang FC di Kuantan Pahang minggu lalu.

“Sudah tentu keputusan itu amat mengecewakan apabila kehilangan tiga mata…Namun kita perlu bagi pujian kerana pemain sudah menunjukkan satu prestasi yang cukup baik walaupun kita bermain di tempat lawan.

“Beberapa insiden berlaku…Tetapi mereka mampu mempertahankan gawang kita daripada dibolosi. Kita hanya mampu membawa balik satu mata dan saya pasti satu mata itu amat berharga di tempat lawan,” katanya.

Ketika diminta mengulas berkaitan lima pemain Sabah FC mendapat panggilan ke skuad kebangsaan Kim Swee berkata, ini merupakan satu penghargaan kepada anak buahnya untuk mempamerkan kualiti permainan terbaik mereka ketika mewakili negara.

“Saya selalu katakan apabila dapat mewakili negara itu merupakan satu pencapaian yang terbaik dalam karier bola sepak sekali gus mereka perlu menunjukkan prestasi memberangsangkan.

“Saya harap lima pemain ini dapat mengekalkan disiplin dan seterusnya mengikuti pasukan kebangsaan apabila bermain dalam kejohanan yang berprestij nanti.

“Ini sudah tentu akan memberi pengalaman yang cukup baik untuk mereka kembali ke pasukan Sabah FC bagi membantu pasukan agar lebih mencabar dalam saingan liga super pada tahun ini,” katanya.

Lima pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat bermula Sabtu ini ialah Damien Lim, Darren Lok, Dominic Tan, Stuart John Wilkin dan Daniel Ting.