KUALA LUMPUR:Juara lima kali, Thailand mengesahkan tempat di perlawanan akhir Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 selepas mengikat juara bertahan Vietnam 0-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional Singapura, malam ini.
Namun, dengan bekalan kemenangan 2-0 diraih Thailand pada saingan separuh akhir pertama yang berlangsung Khamis lepas, sudah cukup melayakkan skuad Gajah Perang itu beraksi di final sejak menjuarai edisi 2016.
Pada aksi malam ini, Vietnam yang dikendalikan Ketua Jurulatih Park Hang-seo memberikan amaran awal seawal minit keempat menerusi percubaan penyerang Nguyen Tien Linh yang tepat ke penjaga gol Chatchai Budprom, dalam usaha mengurangkan defisit jaringan secepat mungkin.
Momentum Vietnam yang ghairah melancarkan serangan ke kubu pertahanan lawan terhenti kira-kira enam minit pada pertengahan babak pertama apabila Chatchai mengalami kecederaan dan terpaksa digantikan dengan Siwarak Tedsungnoen pada minit ke-33.
Peluang terbaik skuad Naga Emas pada separuh masa pertama hadir menerusi percubaan pada minit ke-43, namun tandukan pemain tengah Nguyen Hoang Duc berpunca dari sepakan penjuru sedikit melewati tiang gol Thailand.
Hanya bertahan dan sesekali mengatur gerak, Thailand bagaimanapun hampir memecah kebuntuan gol pada hujung masa tambahan babak pertama, namun rembatan deras dari jarak dekat pemain pertahanan Theerathon Bunmathan yang membuat larian di sebelah kiri berjaya diselamatkan Tran Nguyen Manh.
Babak kedua menyaksikan tiada banyak perbezaan dengan Vietnam yang membuat beberapa pertukaran pemain terus buntu menembusi benteng pertahanan skuad bimbingan Alexandre Polking yang menampilkan disiplin bertahan cukup baik.
Namun, pada minit ke-66 penyerang Phan Van Duc berjaya mencuri ruang untuk melepaskan rembatan dari jarak dekat tetapi terkena pertahanan lawan dan beliau sekali lagi merembat bola yang melantun itu tetapi Siwarak bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan kedua.
Kedudukan 0-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil dari Jordan, Ahmad Ibrahim sekali gus menyaksikan Thailand berjaya menebus kekecewaan gagal mara ke final pada edisi 2018 selepas tewas di tangan Malaysia.
Thailand akan membuat perhitungan menentang Indonesia yang turut mara selepas mengatasi Singapura dengan kemenangan agregat 5-3 semalam, pada dua aksi final masing-masing Rabu dan Ahad ini.
Thailand muncul juara sulung Piala AFF pada 1996 sebelum meraih empat lagi gelaran pada edisi 2000, 2002, 2014 dan 2016.
— BERNAMA