Liga Super Malaysia: Sabah tewas kepada Negeri Sembilan pada aksi pertama di Stadium Likas

KOTA KINABALU: Pasukan Sabah FC memulakan kempen Liga Super Malaysia 2022 dengan kekalahan selepas tewas kepada Negeri Sembilan FC dengan jaringan 0-1 pada perlawanan pertama di Stadium Likas di sini, malam ini.

Ia hasil jaringan pemain pertahanan Khair Muhammad Jefri Jones pada minit ke-52 separuh masa kedua berpunca dari sepakan percuma oleh Ahmad Khuzaimi Piee.

Sabah berpeluang mendahului jaringan pada masa kecederaan separuh masa pertama selepas diberikan sepakan penalti apabila Cordeiro Pessoa Neto dijatuhkan oleh penjaga gol Negeri Sembilan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Tetapi Cordeiro Pessoa gagal menyempurnakan penalti selepas tendangan bola ke tepi kanan tiang gol ditepis oleh Ahmad Syihan.

Perlawanan kedua Sabah FC pada cabaran Liga Super Malaysia menentang PJ City FC di Stadium Likas pada 9 Mac ini.