Kota Kinabalu Siap Siaga Hadapi Kelayakan Bola Sepak SAGA – Rosly

KOTA KINABALU : Pasukan Kota Kinabalu bersiap sedia untuk menghadapi peringkat kelayakan bola sepak Sukan Sabah (SAGA) di sini awal bulan hadapan.

Ketua jurulatihnya, Rosly Jamal berkata, pihaknya sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi peringkat kelayakan dengan pemain-pemain akan mengakhiri latihan pusat dalam jangka masa seminggu.

“Kami juga mengadakan sekurang-kurangnya dua lagi perlawanan persahabatan sebagai persiapan terakhir,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Jumaat lepas, pasukan SAGA Kota Kinabalu mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di padang universiti berkenaan dengan kemenangan 6-2 memihak mereka.

Satu lagi perlawanan serupa bertemu pasukan DPM akan diadakan di stadium mini SMK Datuk Peter Mojuntin pada Selasa ini.

Sementara itu, pengurus pasukan, Nurhafiza Badar menyifatkan kejayaan dalam perlawanan dengan UMS sebagai permulaan yang baik untuk mereka.

“Kita rasa gembira dengan kejayaan ini dan ia satu pengalaman yang baik untuk diri saya,” katanya yang pertama kali menggalas tanggungjawab itu.

Ketua jurulatih turut berharap pasukan mampu untuk melepasi pusingan kelayakan nanti sambil menyandarkan harapan kepada pemain-pemain untuk melakukan yang terbaik demi pasukan.