RCTI Premium Sports: Sabah FC raih ketiga tewaskan PSIS Semarang 2-1

JAKARTA : Sabah FC berjaya merangkul tempat ketiga kejohanan RCTI Premium Sports setelah menewaskan cabaran PSIS Semarang dengan keputusan 2-1.

Datuk Ong Kim Swee mempertaruhkan pemain terbaik dalam aksi menentang PSIS Semarang apabila menurunkan pemain seperti Khairul Fahmi, Ramon Machado, Rawilson, Saddil Ramdani serta Gary Steven Robbat.

PSIS Semarang pula memberikan kepercayaan kepada pemain seperti Roger Bonet, Adam Mitter, Adi Purnama, Aulia Rahman dan Syiha Buddin selaku kapten pasukan bagi menggempur pasukan Sabah.

Sabah dan PSIS Semarang tampil menguji penjaga gol lawan menerusi beberapa serangan dalam mencari gol awal pada babak pertama permainan.

Jafri Firdaus Chew muncul penjaring pertama perlawanan apabila menggegar gawang gol PSIS Semarang pada minit ke-39.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan Sabah mendahului PSIS Semarang 1-0 hasil jaringan Jafri Firdaus.

Bermula babak kedua, Jafri Firdaus hampir menjaringkan gol kedua pasukan pada minit ke-50 menerusi bola hantaran Saddil Ramdani tetapi tandukan beliau sedikit tersasar daripada gawang gol.

PSIS Semarang berjaya bangkit mengikat Sabah 1-1 hasil jaringan Habil Abdillah yang memanfaatkan kesilapan pemain pertahanan Sabah.

Pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee kemudian meraih gol kedua pasukan menerusi jaringan Irfan Fazail pada minit ke-80 untuk kembali mendahului perlawanan.

Sabah berjaya menundukkan PSIS Semarang 2-1 untuk memenangi tempat ketiga kejohanan RCTI Premium Sports di Stadium Antarabangsa Jakarta.