KOTA KINABALU: Pasukan TABS Safa Bandaraya menyertai Kejohanan Liga Bola Sepak Empat Penjuru B12 merebut piala GFDP yang berlangsung di Kompleks Sukan Sandakan esok (Selasa).
Pasukan itu dianggotai 20 pemain termasuk tiga jurulatih dan diketuai Puan Juraidah Abdul Rahim. Mereka berlepas dari Kota Kinabalu pagi tadi.
Selain TABS Safa Bandaraya, liga tersebut turut disertai Akademi Bola Sepak Remaja Sandakan, Kelab Bola Sepak Nuri Junior dan Akademi Bola Sepak Remaja Junior.
TABS Safa Bandaraya juga diberi kepercayaan pihak penganjur sebagai penganjur bersama liga itu dan merupakan satu-satunya pasukan dari luar daerah Sandakan.
Timbalan Pengerusi TABS Safa Bandaraya, Lokman Sunggim mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kejohanan atas undangan kepada TABS untuk terlibat dalam kejohanan empat penjuru tersebut.
Katanya, ia sebagai pendedahan kepada pemain-pemain baharu bawah 12 tahun TABS selepas menunjukkan prestasi yang baik dalam liga suparimau sesi pertama sebelum ini.
Pasukan itu tambahnya akan bertanding di grand final liga suparimau di Kuala Lumpur hujung tahun ini.
“Kita telah mengamanahkan Juraidah mengetuai rombongan pasukan ke Sandakan ini mengambil kira pengalamannya bersama pasukan itu yang menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan,” katanya sambil berharap mereka mampu mengulangi kejayaan dalam liga berkenaan.