Padang Bola Sepak Kg. Limbawang Terbiar Ditumbuhi Lalang

BEAUFORT: Keadaan padang bola sepak Kampung Limbawang yang mempunyai lampu limpah kini terbiar ditumbuhi lalang sejak sekian lama mengejutkan penduduk selepas ia tular di media sosial tertutama menerusi facebook.

Hussin Elin yang membuat hantaran situasi terkini padang berkenaan di akaun facebooknya mendakwa Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Limbawang sepatutnya membuat permohonan kepada Majlis Daerah Beaufort (MDB) meminta bantuan bagi memotong rumput di padang tersebut.

Katanya, padang itu satu-satunya padang kampung di daerah ini yang mempunyai lampu limpah namun keadaannya yang ditumbuhi lalang menyebabkan kemudahan itu tidak dapat dimanfaatkan untuk kegiatan sukan terutama bola sepak.

“Sekiranya JPKK meminta bantuan MDB mungkin pihak majlis boleh membantu memotong rumput tersebut dan seterusnya melakukan penyelenggaraan supaya padang tersebut dapat digunakan semula,” katanya.

Selain itu ujar Hussin, adalah menjadi tanggungjawab pihak JPKK untuk melaporkan kepada MDB dan SESB memandangkan terdapat lampu-lampu jalan di kampung berkenaan tidak menyala supaya ia berfungsi untuk menerangi jalan-jalan tersebut.

Seorang nitizen, Rostinah Gdr turut meluahkan rasa kecewanya sambil mempersoalkan, ya kenapa jadi macam ini, dulu padang ini cantik tetapi sekarang sangat menyedihkan sekali.

“Bangkitlah pihak yang berwajib dari tidur dan mimpi indah. Tengok sekeliling bila bangun dari tidur,” sindirnya.

Shamiun Salleh pula berkata, sedih melihat keadaan padang Kampung Limbawang ini sebab ada pengalaman bermain di sini dan juga pernah terlibat mengadili pertandingan bola sepak anjuran belia kampung berkenaan.

Menurut Masrin Sadim, pihak berwajib di peringkat kampung perlu bertanggungjawab untuk memastikan kebersihan keadaan padang itu.

“Beginilah keadaan padang bola kalau bukan di kawasan sekolah kerana di kawasan sekolah padang akan lebih terjaga di segi kebersihannya,” katanya.

Seorang lagi nitizen, Japri Sarbatly menjelaskan padang ini sebenarnya boleh menjana pendapatan jika ia diurus selia dengan betul disebabkan kedudukannya yang strategik di daerah ini.