39 rumah setinggan haram di belakang Likas Square diroboh

KOTA KINABALU: Sebanyak 39 rumah setinggan haram di kawasan belakang Likas Square dirobohkan menerusi Operasi Bersepadu Perobohan Struktur Haram bagi membanteras pencerobohan tanah kerajaan serta melindungi rizab sungai dan sistem saliran.

Operasi yang diketuai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu turut disertai Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity dan Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT).

DBKK berkata operasi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri membanteras pembinaan struktur tanpa kebenaran, mengurangkan risiko banjir serta memastikan pembangunan bandar raya berjalan secara terancang.

Menurut DBKK, kawasan berkenaan pernah dikenakan tindakan penguatkuasaan sebelum ini, namun hasil pemantauan mendapati struktur haram dibina semula sehingga menjejaskan rizab parit dan sungai.