KMJG 2026 jelajah Sabah hingga 31 Ogos

KOTA KINABALU: Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 akan menjelajah seluruh Sabah sepanjang bulan Ogos bagi menyemarakkan semangat patriotisme sempena Sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2026.

Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, konvoi itu membabitkan penyertaan 25 agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat swasta.

Beliau berkata, konvoi akan bermula di Menara Kinabalu pada 1 Ogos dan dijangka dilepaskan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Menurutnya, KMJG akan singgah di pelbagai daerah sehingga 31 Ogos bagi menyampaikan mesej cintakan negara dan menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang.