TAWAU: Sebanyak 11 motosikal disita manakala seorang penunggang ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Samseng Jalanan dan Op Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, awal pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, operasi bermula jam 10 malam hingga 2 pagi itu dijalankan di Jalan Apas, Jalan Chong Thien Vun dan Jalan Kabota bagi membanteras kegiatan lumba haram, mengesan pemandu mabuk serta memastikan pematuhan undang-undang jalan raya.
Menurutnya, polis mengeluarkan 24 notis saman atas pelbagai kesalahan termasuk memandu tanpa lesen, mengubah suai ekzos dan struktur kenderaan, menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, memandu di bawah umur, cermin pandang belakang, brek tidak berfungsi dengan baik serta lesen memandu tamat tempoh.
“Sebanyak 11 motosikal turut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala 55 individu bersama 52 kenderaan diperiksa sepanjang operasi dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam Op Mabuk, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan selepas ujian saringan awal menggunakan Screening Device 2 Plus (SD2+) mengesan kandungan alkohol dalam badannya.
Katanya, suspek kemudian dibawa ke pejabat BSPT IPD Tawau untuk menjalani ujian pengesahan menggunakan Evidential Breath Analyzer (EBA II) sebelum bacaan didapati melebihi had yang dibenarkan.
“Suspek ditahan mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan motosikal yang digunakan turut disita bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Wilynton berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan lumba haram dan samseng jalanan, selain mengesan pemandu atau penunggang yang memandu di bawah pengaruh alkohol.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan serta meminta ibu bapa memantau pergerakan anak-anak agar tidak terbabit dalam aktiviti lumba haram atau pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi undang-undang.
