Rampasan RM3.4 juta bukti penguatkuasaan berkesan

KOTA KINABALU: Rampasan 12 kontena makanan sejuk beku bernilai kira-kira RM3.42 juta di Pelabuhan Sepanggar membuktikan keberkesanan kerjasama agensi penguatkuasaan dalam membanteras penyeludupan makanan ke Sabah.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, operasi itu berjaya menghalang produk yang disyaki menggunakan label mengelirukan serta status halal yang diragui daripada memasuki pasaran.

Menurutnya, beliau akan membawa perkara itu ke Kabinet Negeri bagi memohon penubuhan jawatankuasa khas membabitkan MAFFI, AKPS, JKDM, PDRM dan agensi berkaitan untuk memperkukuh penguatkuasaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan membawa masuk makanan yang tidak diisytiharkan dengan betul kerana ia boleh menjejaskan keselamatan pengguna serta keyakinan terhadap bekalan makanan halal di Sabah.