TUARAN: Rhinos Cup (Sportink) 2026 mampu menjadi platform penting untuk mencungkil dan menggilap bakat muda bola sepak Sabah, sekali gus memperkukuh pembangunan sukan itu di negeri ini.
Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji berkata, kejohanan itu bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi laluan kepada pemain muda berbakat untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Rhinos Cup (Sportink) 2026 sempena Kejohanan Liga Remaja Kebangsaan 2026 di Hilton Garden Inn, Tuaran.
Menurutnya, kejohanan yang julung kali diadakan di Sabah itu memberi peluang kepada pasukan daerah membuktikan kemampuan sebelum mewakili negeri ke Liga Remaja Kebangsaan di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang, Pahang.
Katanya, kejayaan bola sepak Sabah bukan sahaja bergantung kepada pemain, malah memerlukan sistem pengurusan yang mantap dan kedudukan kewangan yang kukuh.
