Parkir QEH kritikal, projek bertingkat disasar mula dibina 2028

KUALA LUMPUR: Projek parkir bertingkat Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu dijadual dilaksanakan menerusi Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), susulan masalah kekurangan tempat letak kereta yang berlarutan di hospital itu.

Senator Datuk Phoong Jin Zhe berkata, QEH kini hanya mempunyai 1,089 petak parkir sedangkan lebih 2,000 kenderaan memasuki kawasan hospital berkenaan setiap hari.

Menurut jawapan bertulis Kementerian Kesihatan terhadap soalan lisannya di Dewan Negara, kerja awalan bagi blok klinikal dan sokongan baharu yang merangkumi kemudahan parkir bertingkat dijangka selesai pada suku keempat tahun ini.

Pembinaan fizikal projek itu pula disasarkan bermula pada 2028 di bawah perancangan RMK13.

Phoong berkata projek berkenaan tidak boleh terus ditangguhkan kerana kekurangan parkir memberi kesan kepada pesakit, penjaga, kakitangan serta pengguna yang berurusan di hospital berkenaan setiap hari.

Sementara menunggu projek itu dilaksanakan, kementerian mengambil beberapa langkah sementara termasuk menyusun semula trafik dalaman, memperketat penguatkuasaan di laluan kecemasan dan menambah baik kawasan menurunkan penumpang.

Selain itu, lapan laluan bas awam baharu mula memberi perkhidmatan ke QEH sejak Jun bagi menyediakan pilihan pengangkutan kepada orang ramai.

Phoong, yang pernah membangkitkan isu itu dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada 2025, berkata beliau akan terus memantau perkembangan projek di Parlimen bagi memastikan peruntukan Persekutuan disalurkan mengikut jadual.