KOTA KINABALU: Peringatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya sekolah tidak menutup kes buli menunjukkan langkah anti-buli sedia ada masih mempunyai kelemahan, kata ADUN Likas Tham Yun Fook.
Bekas pegawai pendidikan itu berkata, kenyataan Perdana Menteri membayangkan masih wujud jurang antara dasar yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan dengan pelaksanaannya di peringkat sekolah.
“Jika mekanisme sedia ada benar-benar berkesan, Perdana Menteri tidak perlu mengingatkan sekolah supaya tidak menyembunyikan kes buli,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Tham, keberkesanan dasar tidak boleh diukur berdasarkan jumlah program atau garis panduan yang diperkenalkan, sebaliknya perlu dinilai melalui tahap keselamatan pelajar, keyakinan ibu bapa serta tindakan pantas terhadap mangsa.
Beliau turut menggesa kementerian menilai semula mekanisme aduan, memperkukuh perkhidmatan kaunseling, meningkatkan akauntabiliti pentadbiran sekolah dan menerbitkan statistik kes buli secara berkala.
