RUU Antilompat Parti Lebih Penting Dari Perlembagaan – Ewon

KOTA KINABALU: Kelulusan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 berkaitan anti lompat parti adalah lebih penting bagi melarang wakil rakyat keluar parti selepas pilihan raya berbanding pemansuhan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata ini kerana proses pemilihan dan pelantikan Ketua Menteri masih boleh dilakukan mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah.

Tambahan pula, beliau berkata Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah dilihat seperti tidak lagi relevan dan wajar dimansuhkan kerana di bawah perkara itu terdapat kelompangan bagi proses pemilihan Ketua Menteri.

Sebagai contoh, katanya Perkara 6(7) itu tidak menjelaskan sama ada seseorang ketua parti layak untuk dilantik sebagai ketua menteri sekiranya kalah dalam pilihan raya walaupun partinya menang majoriti dalam pilihan raya berkenaan.

“Pada pandangan saya, ia harus mengambil kira pertimbangan semasa pilihan raya ada pemenang yang jelas iaitu parti menang pilihan raya lebih daripada 50 peratus. Dalam keadaan seterusnya tidak ada parti atau gabungan parti yang menang lebih daripada separuh.

“Maka, apa yang dibentang dan diluluskan itu adalah menjadi panduan kepada TYT (Tuan Yang Terutama) untuk memilih Ketua Menteri (Sabah) berasaskan kepada ahli yang telah mendapat sokongan majoriti,” katanya di sini hari ini.

Ewon berkata, Perkara 6(7) merujuk sebuah parti politik yang memenangi kerusi majoriti pada pilihan raya, ketua parti itu merupakan seorang ADUN Sabah yang mempunyai kemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan.

Khamis lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan rang undang-undang berkenaan dengan sokongan 75 ADUN manakala empat ADUN tidak hadir pada bacaan ketiga selepas dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Pada bacaan kedua, undi belah bahagi yang dilakukan untuk Fasal 2 rang undang-undang itu menyaksikan 61 ADUN bersetuju Perkara 6(7) digugurkan, 14 ADUN tidak bersetuju manakala empat ADUN tidak hadir.

Ewon berkata ada keperluan untuk memperhalusi Perkara 6(7) supaya Yang Dipertua Negeri mendapat panduan lebih jelas dalam melantik Ketua Menteri selepas proses pilihan raya, dan pihaknya amat mengalu-alukan jawatankuasa khas bagi memperkasa lagi takrifan dalam perkara itu.

Sementara itu, beliau berkata interpretasi pemilihan Ketua Menteri daripada parti minoriti dalam DUN adalah tidak mudah seperti digembar-gemburkan susulan pemansuhan Perkara 6(7) berkenaan.

“Parti yang memiliki jumlah wakil rakyat lebih ramai sentiasa akan menuntut partinya itu lebih layak untuk dilantik Ketua Menteri.

“Kita kena lihat dari sudut praktikal dan realiti, bukan andaian sahaja,” katanya, menjelaskan setiap gabungan parti politik mempunyai formula sendiri dalam menentukan calon Ketua Menteri.