Chin dakwa Armizan keliru isu geran khas dan hak 40% Sabah

KOTA KINABALU: ADUN Kapayan, Chin Tek Ming mendakwa Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, telah mengelirukan rakyat berhubung perbezaan antara geran khas dan hak 40% hasil bersih Persekutuan yang diperuntukkan kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Chin berkata, hak 40% Sabah bukanlah bantuan khas atau ihsan politik daripada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya merupakan hak yang termaktub di bawah Perkara 112C dan Perkara 112D serta Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, pelaksanaan hak tersebut tidak sepatutnya bergantung kepada rundingan politik atau persetujuan mana-mana pihak kerana ia merupakan kewajipan yang diperuntukkan oleh undang-undang tertinggi negara.

“Sabah bukan meminta belas ihsan daripada Putrajaya. Sabah menuntut pelaksanaan hak Perlembagaannya yang telah dijamin sejak sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Sabah masih perlu menunggu persetujuan Kerajaan Persekutuan berhubung kadar bayaran baharu jika hak berkenaan sememangnya diiktiraf.

Chin berkata, rakyat Sabah kini mahu penjelasan lebih telus mengenai formula pengiraan 40%, jumlah sebenar hasil Persekutuan yang diperoleh daripada Sabah dan kaedah pengiraan yang digunakan.