KOTA MARUDU: Kegiatan mencuri kabel di daerah Pitas terbongkar apabila dua lelaki tempatan diberkas dalam satu operasi khas polis pada Isnin.
Dalam operasi itu, polis turut merampas lima karung berisi tembaga yang dipercayai hasil kupasan kabel curi serta sebuah kenderaan Perodua Aruz yang digunakan suspek.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Simiun Lomudin berkata, kedua-dua suspek berusia 28 dan 43 tahun ditahan di Kampung Kesegaan dan Kampung Saab, Pitas.
“Hasil siasatan awal mendapati tembaga yang dirampas dipercayai diperoleh daripada kegiatan mencuri kabel utiliti awam di kawasan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta utiliti awam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek akan direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Marudu bersama Balai Polis Pitas itu berjaya dilaksanakan hasil maklumat yang disalurkan orang awam.
