KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming meminta penjelasan terperinci berhubung cadangan penubuhan jawatankuasa dwipartisan berkaitan tuntutan hak 40 peratus Sabah bagi memastikan mekanisme itu mampu membawa kepada pelaksanaan sebenar.
Beliau berkata, cadangan yang dikemukakan Datuk Joniston Bangkuai perlu disertakan dengan mandat yang jelas, garis masa tetap serta mekanisme pelaporan yang boleh dipertanggungjawabkan kepada rakyat.
Menurutnya, rakyat Sabah kini lebih menumpukan kepada hasil dan pelaksanaan berbanding perbincangan yang berpanjangan mengenai hak yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Selepas berdekad-dekad, rakyat mahu melihat kemajuan yang nyata dan bukannya hanya pengulangan proses rundingan serta konsultasi.
“Jawatankuasa yang dicadangkan perlu membuktikan bahawa ia mampu mempercepatkan pelaksanaan hak 40 peratus Sabah, bukan sekadar melanjutkan proses sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, hak 40 peratus Sabah adalah hak perlembagaan yang perlu dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan negeri dan rakyat.
