KOTA BELUD: Kerajaan Sabah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti industri yang menjejaskan kesejahteraan rakyat meskipun sektor berkenaan memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi negeri dan menjamin bekalan makanan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pihaknya memberi tempoh enam bulan kepada sebuah syarikat ladang ayam di Tamparluri untuk menyelesaikan isu pencemaran yang dibangkitkan penduduk setempat.
Menurut beliau, industri ternakan ayam merupakan komponen penting dalam rantaian bekalan makanan negeri, namun operasi syarikat perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab tanpa mengabaikan kebajikan masyarakat sekitar.
“Kita menyokong pembangunan industri kerana ia menyumbang kepada ekonomi negeri serta pengeluaran daging ayam dan telur, tetapi jangan sehingga menjejaskan kehidupan penduduk kampung,” katanya.
Beliau berkata, pihak kementerian akan melakukan pemantauan berkala setiap tiga bulan bagi memastikan langkah-langkah penambahbaikan yang dijanjikan benar-benar dilaksanakan.
