KOTA KINABALU: Seramai 103 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Kota Kinabalu, Keningau, Sandakan dan Tawau.
Dalam operasi itu, seramai 500 individu diperiksa sebelum 103 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta melanggar syarat pas imigresen.
Kota Kinabalu merekodkan tangkapan tertinggi dengan 32 individu, diikuti Sandakan (28), Tawau (22) dan Keningau (21).
JIM Sabah memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.
