Projek tangki simpanan air Sandakan capai 94 peratus

SANDAKAN: Kerajaan Sabah terus memperkukuh usaha mengatasi gangguan bekalan air di Sandakan menerusi pelaksanaan beberapa projek infrastruktur termasuk pembinaan tangki simpanan air yang kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 94 peratus.

Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Limus Jury berkata, projek itu dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2027.

Menurut beliau, empat tangki simpanan baharu sedang dibina di Batu 16 Gum-Gum, Batu 7 Jalan Airport, Batu 4 Tshun Ngen dan Batu 12 Sungai Manila bagi meningkatkan kecekapan sistem bekalan air.

Katanya, kerajaan turut melaksanakan langkah segera seperti penghantaran lori tangki air, kawalan agihan bekalan melalui injap sluis serta pembinaan tangki statik di kawasan yang sering mengalami gangguan.

Tambah beliau, kerajaan juga merancang memulihkan sistem telaga tiub dan membina loji rawatan air baharu bagi memastikan bekalan air Sandakan lebih stabil pada masa depan.