Wira Warisan sifat kenyataan Azrul Ibrahim tidak matang

KOTA KINABALU: Naib Ketua Wira Warisan Pusat, Mohd Khairuddin Daud menyifatkan kenyataan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim berhubung kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Majlis Perasmian Sambutan Kaamatan daerah Keningau sebagai tidak matang.

Khairuddin berkata, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan yang mendakwa kehadiran Shafie dalam majlis berkenaan menimbulkan kemusykilan dan menjejaskan kestabilan kerajaan.

Menurutnya, sebagai kerajaan, semua pihak sewajarnya menggalakkan perpaduan masyarakat khususnya dalam semangat sambutan Kaamatan yang meraikan keharmonian pelbagai kaum di Sabah.

“Datuk Azrul Ibrahim juga seharusnya peka dan menghayati tema Kaamatan tahun ini iaitu ‘Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin turut mendakwa Azrul pernah menyebut mengenai pihak yang tidak mahu Sabah menjadi seperti Sarawak dan mempersoalkan sama ada beliau kini tidak mahu perbezaan diraikan dalam semangat perpaduan.