Komen hina Mat Salleh dilapor polis

KOTA KINABALU: Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) membuat laporan polis berhubung penyebaran komen berunsur penghinaan terhadap tokoh sejarah Sabah, Paduka Mat Salleh, di media sosial.

Laporan itu dibuat Pengerusi PAKAS merangkap pengasas TigaSatuTiga Channel, Kefayatullah Malik Aman di Balai Polis Tuaran kira-kira jam 9 malam selepas beberapa komen tular didakwa menghina tokoh berkenaan dalam satu video perbincangan sejarah di Facebook.

Kefayatullah berkata, tindakan itu bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya bagi mengelakkan isu berkenaan mencetuskan sentimen perkauman dan perpecahan masyarakat di Sabah.

Katanya, perbahasan sejarah boleh dilakukan namun perlu berasaskan fakta serta pendekatan akademik, bukannya melalui penghinaan dan provokasi di media sosial.

“Apabila sudah melibatkan penghinaan melampau tanpa asas akademik yang jelas, ia boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis.

Menurutnya, antara komen tular itu mendakwa Paduka Mat Salleh sebagai “lanun”, “perompak”, “perogol” dan “pembunuh” tanpa pembuktian sejarah yang sahih.

Beliau berkata, Paduka Mat Salleh adalah tokoh sejarah yang diiktiraf dalam sejarah Sabah dan Malaysia menerusi bahan pendidikan, memorial rasmi serta kajian sejarah.

Katanya, sejarah Sabah perlu dilihat daripada pelbagai sudut termasuk rekod kolonial British, oral tradition masyarakat tempatan dan konteks politik ketika itu.

“Rekod kolonial juga mempunyai bias politik tersendiri. Sebab itu sejarah tidak boleh dibaca daripada satu pihak sahaja,” katanya.

Beliau turut menyerahkan beberapa tangkap layar komen dan akaun media sosial berkaitan kepada polis untuk tindakan lanjut.