KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merekodkan rampasan bernilai lebih RM20.6 juta menerusi Op Tiris 4.0 bagi tempoh Januari hingga April 2026.
Dalam kenyataan hari ini, PPM memaklumkan sebanyak 54 kes direkodkan dengan 53 tangkapan dibuat termasuk 13 warga asing.
Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan dijalankan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan di Sabah.
“Rampasan keseluruhan Op Tiris 4.0 dianggarkan bernilai RM20,660,390.50 melibatkan barang kawalan, kenderaan dan peralatan digunakan dalam kegiatan penyeludupan,” menurut kenyataan itu.
Kes tertinggi melibatkan penyeludupan petrol dan diesel subsidi dengan 43 kes direkodkan serta 46 tangkapan dibuat termasuk 10 warga asing.
Sebanyak 225,635 liter diesel dan petrol dirampas dengan nilai dianggarkan RM1,163,766.30.
Selain itu, 11 kes lain melibatkan barang kawalan seperti minyak masak, gula dan tong gas LPG turut direkodkan dengan nilai rampasan RM30,399.50.
Secara keseluruhan, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 994 kes pelbagai kesalahan dengan jumlah rampasan bernilai RM51.8 juta bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.
