Resort di Semporna diserbu, lelaki simpan haiwan eksotik ditahan

SEMPORNA: Operasi Bersepadu (OB) dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bersama Majlis Daerah Semporna (MDS) ke atas resort-resort di daratan sekitar daerah ini membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan kerana disyaki memiliki haiwan eksotik dan daging hidupan liar tanpa permit sah.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Tan Hiap Wah berkata, operasi itu dijalankan bagi memastikan pematuhan premis terhadap syarat pelesenan dan pengoperasian yang ditetapkan pihak berkuasa.

Katanya, sebanyak enam resort diperiksa sepanjang operasi dijalankan.

“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan berkaitan pelesenan dan pengoperasian premis dikesan.

“Pihak Majlis Daerah Semporna turut mengeluarkan sebanyak 15 kompaun membabitkan nilai keseluruhan RM10,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, dalam operasi sama, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun kerana disyaki memiliki beberapa haiwan eksotik serta daging hidupan liar tanpa kebenaran sah.

“Tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama antara polis, MDS dan Jabatan Hidupan Liar akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang di daerah itu.

Katanya, seramai 29 pegawai dan anggota daripada IPD Semporna serta MDS terbabit dalam operasi berkenaan.