Feri bawa lebih 24,000 unit kosmetik tanpa dokumen ditahan

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Cawangan Khas IPD Lahad Datu menahan sebuah feri yang membawa pelbagai jenis kosmetik tanpa dokumen sah dalam operasi khas di perairan Lahad Datu semalam.

Menurut pihak berkuasa, pemeriksaan dijalankan selepas menerima maklumat risikan berhubung aktiviti penyeludupan menggunakan feri penumpang.

Hasil pemeriksaan menemukan kira-kira 70 longgokan kotak mengandungi pelbagai jenis kosmetik dipercayai dibawa masuk dari Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menuju ke Lahad Datu.

Rampasan membabitkan lebih 24,176 unit kosmetik dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM360,986.

Pemeriksaan lanjut mendapati semua barangan terbabit tidak mempunyai dokumen atau permit sah daripada Bureau of Customs Filipina.

Kesemua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

PPM Wilayah 4 Sabah memaklumkan operasi pemantauan di perairan negara akan terus dipertingkat bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan barangan tanpa cukai.