Sabah perkasa pengeluaran tempatan kurangkan import makanan

TAMBUNAN: Kerajaan Sabah terus memperkukuh sektor pertanian tempatan sebagai langkah mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan dari luar negara.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, negeri itu memerlukan lebih ramai pengusaha pertanian berdaya maju bagi meningkatkan pengeluaran hasil tempatan sekali gus membantu menstabilkan harga pasaran makanan.

Beliau berkata, Sabah ketika ini masih berdepan cabaran berkaitan kemasukan hasil pertanian dari Semenanjung Malaysia dan Indonesia, namun kerajaan negeri komited membantu pengusaha tempatan meningkatkan kapasiti pengeluaran.

“Kita mahu memastikan pengeluaran tempatan dapat diperkasakan supaya kebergantungan terhadap import dapat dikurangkan secara berperingkat.

“Yang penting, kita dapat mengawal selia pengeluaran dan membantu menstabilkan harga pasaran,” katanya ketika lawatan kerja ke beberapa lokasi pertanian di Tambunan.

Menurut Jamawi, kementerian turut mencadangkan penubuhan sebuah persatuan bagi mengumpul data penanaman sebelum diserahkan kepada Jabatan Pertanian untuk tujuan pemantauan kapasiti pengeluaran makanan tempatan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi membantu kerajaan merancang keperluan import makanan berdasarkan kapasiti sebenar pengeluaran pengusaha tempatan.

Dalam lawatan itu, Jamawi turut melawat projek hidroponik dan fertigasi milik Borneo Top yang mengusahakan tanaman tomato, salad, timun dan cili untuk pasaran Sabah, Sarawak dan Brunei.

Beliau juga memuji penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian termasuk tanaman nanas di Kampung Libang Ulu yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 400 ekar.