KUNDASANG: Projek Pengeluaran Benih Bawang Merah yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Kundasang berpotensi menjadikan Sabah sebagai antara pusat pengeluaran bawang merah strategik negara menjelang tahun 2030.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh sekuriti makanan negara serta mengurangkan kebergantungan terhadap import bawang merah.
Menurut beliau, pembangunan industri bawang merah tempatan bukan sahaja meningkatkan bekalan domestik malah membuka peluang ekonomi baharu kepada usahawan tani dan komuniti luar bandar.
“Kerajaan menyasarkan pengurangan import bawang sebanyak 30 peratus menjelang 2030 melalui peningkatan pengeluaran tempatan dan pembangunan benih berkualiti tinggi,” katanya ketika melawat Projek Pengeluaran Benih Bawang Merah MARDI di Kampung Mesilou.
Beliau berkata, peluasan kawasan tanaman sehingga 40 ekar menjelang 2030 dijangka mampu menghasilkan sehingga 200 metrik tan bawang merah sekali gus meningkatkan sumbangan sektor agromakanan kepada ekonomi negara.
