UMS perkasa usahawan wanita Kota Belud melalui projek herba bawing

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh agenda pembangunan komuniti luar bandar menerusi Projek Pemindahan Ilmu Pemasaran Produk Berasaskan Bawing melibatkan Persatuan Usahawan Wanita Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Kota Belud.

Program anjuran Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS itu diketuai Prof Madya Dr Halina Sendera Mohd Yakin selaku ketua projek merangkap ketua kumpulan penyelidikan berkaitan pembudayaan pertanian komersial.

Program berkenaan dijalankan dengan kerjasama Persatuan Usahawan Wanita IKS Kota Belud Sabah yang dipimpin Puan Natalia Hassan dan melibatkan penyertaan kira-kira 13 komuniti usahawan wanita tempatan.

Dr Halina berkata, projek itu bertujuan membudayakan pertanian komersial dalam kalangan komuniti luar bandar melalui perkongsian ilmu pemasaran produk berasaskan herba tempatan “bawing”, selain membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat.

Menurut beliau, bawing yang sinonim dalam masyarakat Sabah sebagai penambah aroma dan rasa makanan tradisional mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan dalam bidang gastronomi, kesihatan, kecantikan serta kesejahteraan.

“Usaha universiti dan penyelidik dalam berkongsi ilmu bersama komuniti amat penting bagi memperkasa penggunaan produk tempatan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, program itu juga menjadi platform memperkukuh hubungan antara universiti, komuniti, agensi kerajaan dan industri selain menyokong agenda Sabah Maju Jaya serta aspirasi UMS sebagai “The Brain of Borneo”.