344 ditahan, syabu RM7.99 juta dirampas di Sabah

KOTA KINABALU:: Polis Sabah menahan 344 individu dan merampas pelbagai barang kes termasuk dadah bernilai hampir RM9.1 juta menerusi dua operasi berasingan yang dijalankan baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi berkenaan membabitkan Ops Pelican oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dan Op Bayu 9 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

Menurutnya, Ops Pelican berjaya menumpaskan 12 sindiket calling center yang terlibat dalam pelbagai penipuan atas talian dengan penahanan 341 individu berusia antara 17 hingga 60 tahun.

“Polis turut merampas 1,542 barang kes termasuk telefon bimbit, komputer, wang tunai dan peralatan komunikasi bernilai lebih RM1.10 juta,” katanya.

Dalam operasi berasingan, JSJN Sabah berjaya merampas 159.8 kilogram syabu bernilai RM7.99 juta dan menahan dua lelaki serta seorang wanita tempatan.

Beliau berkata, rampasan itu mampu menampung lebih 454,000 kali penggunaan penagih dan berjaya menghalang kemasukan bekalan dadah dalam jumlah besar ke pasaran tempatan.