KOTA KINABALU: Polis menahan 18 lelaki bagi membantu siasatan berhubung dua kejadian pergaduhan yang berlaku di Kampung Air, awal pagi Khamis.
Dalam kejadian pertama kira-kira jam 4 pagi di sebuah premis makanan, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an cedera di betis kanan selepas dipercayai ditikam menggunakan objek tajam yang disyaki duri pari.
Mangsa yang mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham sebelum bertukar menjadi pergaduhan.
“Mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan dipercayai diserang beberapa suspek.
“Kira-kira sejam kemudian, satu lagi pergaduhan berlaku di lokasi sama menyebabkan seorang lelaki mengalami kecederaan lebam pada hidung akibat dipukul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil risikan dan operasi susulan, polis berjaya menahan 18 lelaki serta merampas beberapa barang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
