KOTA KINABALU: K.K.I.P. Power Sdn Bhd (KKIP Power) menyerahkan dividen berjumlah RM3.13 juta kepada K.K.I.P. Sdn Bhd hasil prestasi memberangsangkan syarikat itu dalam sektor utiliti industri di Sabah.
Pengerusi KKIP Power, Datuk Johnny Goh menyampaikan dividen sebanyak RM3,136,500 kepada Pengerusi KKIP, Datuk Ewon Benedick di Pejabat KKIP Sepanggar pada Selasa.
Ewon berkata, prestasi positif tersebut membuktikan komitmen KKIP Power dalam menyokong pembangunan sektor industri serta ekonomi negeri secara berterusan.
Menurut beliau, syarikat itu memainkan peranan penting sebagai pemegang lesen pengagihan elektrik bagi kawasan perindustrian Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP).
Katanya, kestabilan penyediaan utiliti amat penting bagi menarik pelaburan dan memperkukuh ekosistem industri Sabah.
