PENAMPANG: Seramai empat individu tempatan ditahan selepas didapati positif dadah dalam Op Pusat Hiburan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, operasi yang diketuai ASP Bakar Jasa itu melibatkan pemeriksaan ke atas dua premis hiburan di sekitar daerah berkenaan.
Menurutnya, seramai 28 individu menjalani ujian saringan air kencing sepanjang operasi dilaksanakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati empat individu tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 30 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine (METH) dan tetrahydrocannabinol (THC).
“Kesemua mereka ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi bersepadu seperti itu akan terus dipertingkatkan sebagai usaha membanteras penyalahgunaan dadah dan memastikan pusat hiburan mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.
