KUDAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kelulusan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM31 juta bagi memacu pelbagai projek pembangunan di Pulau Banggi, Kudat.
Menurut beliau, peruntukan tersebut melibatkan pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan penyediaan jeti untuk penduduk setempat.
“Dahulu saya hadir ke sini untuk membina sekolah, namun hari ini saya kembali bagi meluluskan peruntukan RM31 juta demi kemajuan Pulau Banggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Setempat Pulau Banggi.
Anwar berkata, antara projek yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan Jeti Pontoon Awam Karakit Fasa 2 dan menaik taraf Jalan Kampung Limbuak Laut ke Kampung Pengkalan Darat bernilai hampir RM44 juta.
Menurutnya, projek tersebut penting bagi meningkatkan akses ekonomi, pendidikan dan kesihatan kepada penduduk di kawasan pulau berkenaan.
Beliau turut mengumumkan sumbangan tambahan RM1.25 juta bagi pelaksanaan program pendidikan, teknologi hijau, kesihatan dan pembangunan insan.
Dalam lawatan itu, Anwar turut melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi yang pernah beliau letakkan batu asas pembinaannya ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1994.
